HOME ABOUT QISH REMINISCE GALLERY CONTACT ME

من كان لله كما يريد، كان الله له فوق ما يريد
Siapa keadaannya seperti apa yang Allah inginkan;
Allah ada baginya melampaui segala harapan.

Mencari 'Siti Hajar' Dalam Dirimu.


Mari kita renung pengorbanan Siti Hajar dan kemudian kita cuba kupas tauladan yang dipaparkan oleh beliau dalam kehidupan kita sebagai isteri..dan juga apresiasi si suami dan anak dalam menghargai pengorbanan isteri dan ibu yang kita kasihi..

Mari kita kenali siapa Siti Hajar dan kehebatannya. Siti Hajar tidak lahir dari keluarga bangsawan, bukan juga dari keluarga ternama, malah hanya seorang wanita hamba sebelum Nabi Ibrahim a.s memperisterikannya. Siti Hajar seorang wanita luar biasa kerana beliau berhadapan dengan pelbagai musibah besar merdeka sehinggakan Allah s.w.t memberi penghormatan tinggi kepadanya sebagai peneroka bumi Makkah dan insan yang menemui telaga air zam-zam sumber air yang terbaik di dunia.

Ya memang benar, beliau seorang wanita yang sungguh luar biasa. Sukar untuk ditemui pada wanita lain sepanjang zaman, dialah seorang wanita, isteri dan ibu yang tinggi jiwa pengorbanannya. Beliau sangat taat, tabah, dan sabar. Ada apa pada Siti Hajar? Ramai orang yang meneguk air zam-zam, tetapi tidak meneguk Ibrah (pengajaran) daripada wanita yang mula-mula menyentuh air itu. 

Sejarah menceritakan beliau wanita berkulit agak gelap, wajahnya tidak secantik madunya Siti Sarah. Beliau menjaga anak bernama Ismail. Ya, beliau biasa-biasa sahaja pada lahirnya. Siti Hajar mempunyai hati seperti emas kerana diuji dengan pelbagai dimensi seperti hidup bermadu, fizikalnya diuji ketika ditinggalkan di padang pasir. Akalnya pula diuji dengan ikhtiar tanpa bekalan, jiwanya diuji dengan tawakal, sabar dan bersangka baik kepada Allah s.w.t dan suami. Memang Siti Hajar benar-benar luar biasa. 

Nabi Ibrahim dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim berkahwin seorang lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya.Pada mulanya, Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur. Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya, Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti Hajar. Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Namun, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu. Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Ismail hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu. Nabi Ibrahim dan Siti Hajar serta anak mereka lantas menuju ke Baitul Haram.

Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya. Inilah iktibar kisah daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, tentulah mereka akan sentiasa bahagia dan tidak akan mengenakan sekatan tertentu terhadap suami.

Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani. Kisah ketabahan Siti Hajar, turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat Islam menunaikan ibadat haji sekarang. Sebab itulah bagi jemaah yang berada di tanah suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau haji, mereka difardu atau dirukunkan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan sai iaitu berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah penderitaan yang ditanggung Siti Hajar itu. 

Berikut adalah sebahagian kisah pengorbanan Siti Hajar.

Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu. Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar. Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:

"Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"

Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."

Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..."

Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" 

Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah."

Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya. 

Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar.

Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.

Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali. Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu? Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air. Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail.

Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku." Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia.

Rumusan dari kehebatan Siti Hajar

1. Tatkala Siti Hajar ditinggalkan suami sedikitpun dia tidak menyimpan prasangka tidak baik pada suaminya. Apatah lagi bersangka buruk kepada Allah. 

2. Kenapa dia ditinggalkan atau dibiarkan semua persoalan itu sedikit pun tidak menggoyahkan ketaatan Siti Hajar terhadap suaminya. Dalam diri Siti Hajar terbina satu benteng ketaatan kepada Allah s.w.t dan beliau membina ketaatan tinggi kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s. 

3. Ketika Hajar ditinggalkan suaminya, beliau menyerahkan bersama anaknya kepada Allah s.w.t. Maka kepada Allahlah seluruh pergantungan hatinya. 

4. Siti Hajar ikhlas dan reda kerana beliau menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t untuk memutuskan apa yang terbaik buat diri dan bayinya. 

5. Ditinggalkan untuk membina kehidupan sendiri di bumi Makkah yang kosong dan tandus. Bayangkan jika kita diuji sedemikian rupa. Beliau juga yakin bahawa Allah s.w.t pasti tidak akan mensia-siakan dirinya. 

“Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia berpegang kepada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala sesuatu,” (Surah Luqman ayat 22) 

6. Ciri-ciri luar biasa yang ada pada Siti Hajar adalah hasil didikan suaminya seorang Rasul, jiwanya disibukkan dengan keinginan melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

7. Beliau sentiasa memandang positif segala ketentuan Allah dan kerana ketulusan jiwa itu darjat Siti Hajar diangkat tinggi Allah s.w.t walaupun beliau lahir sebagai seorang wanita hamba. 

8. Siti Hajar adalah contoh teladan buat bakal bergelar isteri dan ibu. Kuatkanlah pergantungan kepada Allah dan yakinlah pasti ada selaut kemanisan tersembunyi di sebalik kepahitan takdir-Nya. Itulah punca dan sumber kekuatan utama.


Nah sekarang kita telahpun ketahui siapa dan apa yang telah dilalui oleh Siti Hajar dan pengorbanan yang beliau lalui yang menjadi satu titik penting dalam sejarah Islam.

Jika dikaitkan dengan kehidupan seharian kita kini;

1. Berapa ramai di antara isteri2 diluar sana yang tabah ditinggalkan suami yang keluar mencari nafkah yang dengan redha menangung tanggungjawab sebagai ibu dan ayah dan memegang amanah sebagai isteri namun tidak sedikitpun dihargai suami?

Apa yang lebih menyedihkan bila suami pulang isteri tidak diberi perhatian dan kasih sayang, tidak ada ikhsan untuk walau meminjamkan telinga mendengar keluh kesah si isteri akan sukar dan cabaran yang dilalui dalam menanggung tanggungjawab keluarga tanpa suami di sisi.

2. Ada pula suami yang mencari ruang dengan melengkapi kekurangan isteri melalui kekasih2 gelap dan tidak pula memberi ruang pada isteri mengetahui kelemahan yang perlu diperbaiki dan terus menghukum pada isteri yang berkorban jiwa raga demi menjaga maruah keluarga berseorangan tatkala ditinggalkan suami.

3. Pada isteri pula, kadangkala cepat benar melatah, mengadu domba, kecewa apabila dilanda dugaan hidup sedangkan dugaan itu jika dibandingkan dengan dugaan yang diterima Siti Hajar tidakpun setara walau sekelumitpun. Lalu menghukum suami dan meletakkan tanda aras yang terlampau sehingga membebankan jiwa dan raga suami.

4. Ada juga isteri yang tidak dapat menerima kekurangan suami dan mula mencari jalan pintas dengan mengadu domba pada orang ketiga yang dengan senang hati menangguk di air keruh menyebabkan punca rumahtangga berantakan dan anak2 menjadi mangsa keretakan hidup berkeluarga.

Buat suami2 dan isteri2...

Tidak kira apa jua kelemahan dan kekurangan pasangan hidup kita, sewajarnya kita berfokus kepada saling melengkapi bukan sebaliknya kerana jika kesempurnaan yang kita dambakan sehingga idealisme itu menghukum diri dikhuatiri kita terjerumus ke dalam hamba yang khufur akan nikmat Ilahi.

Moga kita sama2 tabah dan berusaha memperbaiki diri dan berfokus pada solusi dan bukannya saling menunding jari menyalahkan kelemahan pasangan.

Pada suami... jika dambakan isteri sehebat Siti Hajar, cerminlah diri dan timbangtara kualiti peribadi adakah sehebat Nabi Ibrahim akan dirimu?

Buat isteri... Hebat sangatkah dugaan yang dihadapi jika dibandingkan dengan dugaan yang dilalui oleh Siti Hajar hingga mudah sangat kau berputus asa dan menjatuhkan hukum?

Moga kita sama2 peroleh iktibar dari perkongsian ini..

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu dari diri saya yang lemah dan dhaif..

*In Sha Allah nanti kita kongsi satu cerita pasal diri kita dan nama ini.* ^___^

'Sedikit' Celoteh :P



Assalamualaikum warahmatullah..

16 Oktober 2012 - Selasa
Genap usia saya 19 tahun 4 bulan.

Petang yang sunyi lepas Fitri si kenit dan Yasmin sudah pulang diambil Mama Papa masing-masing. Tiba-tiba muncul perasaan ingin jenguk blog yang makin terbiar ini. Nak cuba update. Kalau jadi, terbitlah entri ini. Kalau tidak, teruslah senyap sunyi blog ini. :P Sampai perkataan ini, baru lupa yang saya tak baca Bismillah lagi. haha. ^^" Okay. Bismillahirahmanirrahim~ hmm. Mari teruskan.. Sambil cuba mengeluarkan kata dari jari terus ke papan kekunci laptop ini, saya rasa nak termenung dan termenung lagi. Kenapa termenung? Seronokkah kamu termenung wahai gadis? Entahlah.. Macam-macam yang bermain dalam kepala sambil termenung. Bukan setakat termenung sahaja.. Allahu Rabbi. T___T

Pejam celik pejam celik, 4 November 2012 nanti bakal genap setahun dah Allahyarham Ayahanda meninggalkan kami. Cepatnya masa berlalu kan. Alhamdulillah Allah dah permudahkan segala urusan kami untuk terus betah hidup tanpa Ayahanda disisi. Moga Allah mencucuri rahmat yang tidak henti buat roh Ayahanda. Kaklong rindu Ayahanda. :') Alhamdulillah.. Semakin hari juga, saya nampak yang kami berlima semakin kuat dan tabah.  Selalu pesan pada diri sendiri, "Jangan pegang nama Hajar kalau diri tak boleh jadi kuat seperti Sayyidatina Hajar." Betul tak? Mati itu pasti. Kita yang hidup ni kena teruskan hidup.. Live for your future life in akhirat.. Gather as much good deeds as you can and you will be success in both dunia and akhirat lives. In Sha Allah.. :D *Boleh rujuk QS [3:185] Surah Ali Imran*

Dah 5 bulan saya tamat belajar asasi di Unisel. Wahh.. 5 bulan? Apa perkembangan sekarang? Apa yang dah dicapai dalam masa 5 bulan ini? Tak sambung degree lagi ke Cik Mek? :P Hmm hmmm. Payahnyaa nak jawab. huhuk. Terlalu rumit untuk diceritakan. Tapi main factor dia, saya dah tak minat nak sambung TESL. Mungkin tangguh pengajian buat sementara waktu sebelum saya jumpa yang betul-betul saya minat dan buat masa ni, isolate diri dulu. Muhasabah cari ketenangan.. hihi.

*Entri ni terbengkalai takat perenggan atas tu selama hampir 4 hari dan sekarang saya nak sambung lagi. Moga terus publish satgi.* =___=

20 Oktober 2012 - Sabtu (1:44am)

Sebenarnya, saya masih mencari-cari identiti saya sendiri. Saya masih kabur tentang matlamat hidup saya dan saya rasa keliru dengan diri saya sendiri. Yang pasti, saya sedang sedaya upaya mendaki hingga ke takat tertinggi kemampuan saya. Saya punya matlamat hidup sejak di bangku sekolah. Hari demi hari, ia semakin berubah-ubah seiring apabila saya menginjak ke usia yang sedikit matang. Banyak perubahan yang berlaku dalam cara pemikiran saya, cara saya memandang sesuatu perkara dan juga cara saya menghadapi sesuatu. Kalau nak bermula dari awal memang mustahil. Tapi tak salah kalau nak betulkan semula apabila tersedar di mana-mana checkpoint kan? :P Haha. Sounds complicated~

Well.. Don't make it complicated. Simplify it as simple as you can.. Think back! Whatever you're trying to achieve in your life, and whatever you decided to have, it doesn't mean that you can get it according to what you've planned before. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan dan Dia juga yang melaksanakan mengikut perancanganNya dan bukan perancangan kita. Ingat kun fayakun~ (Jadi, maka jadilah~) Kalau Allah kata jangan jadi! Maka tak akanlah ia terjadi. *Boleh rujuk QS [2:117] Surah Al-Baqarah dan QS [36:82] Surah Yaasin* Dari situ, adakan sikap berserah hanya kepada Allah.. hmm. *tepuk bahu sendiri*

Okay.. Ambil dari sejak saya tamat SPM which means hampir 2 tahun lepas. Terlalu banyak perkara yang berubah.. Sangat banyak tak terkira dan ada yang berlaku sekelip mata! O__O" *Gulp. Lepas tamat SPM kerja sementara bla bla bla, dapat offer letter dari macam-macam IPT, gagal masuk matrik sebab fail Addmaths~ -.-" Lepastu sebelum keluar result UPU dapat offer letter Asasi TESL di Unisel dan Arwah Ayahanda kata tak perlu fikir lagi.. Just grab the chance! Maka bermulalah lagi titik perubahan lain dalam hidup si gadis. Yes.. I learnt too much things from my expreriences. :D Selepas itu seribu satu perkara lagi terjadi yang mengubah hampir keseluruhan hidup si gadis. Iyaa.. KESELURUHAN~~ Kalau nak diceritakan satu persatu memang masak lah kan.. hihi. Takpa lah.. Saya memang nak catatkan semula semua perkara yang telah membawa perubahan dalam hidup saya. Satu entri untuk tiap satu atau apa-apa jelah.. :P In Sha Allah. Yes I'm living for the future but I'll never forget who I was before. =)

Sekarang saya terpaksa berhenti setakat ini. Tetiba macam ada hint yang emotional breakdown bakal menyerang. Tidakkk.. Taknakk.. >.< Nak chill up, nak minum Sarsi dulu kemudian tidur. Yang penting, Allah sayang saya dan Allah sayang kita semua. Allahu Ya Rabbi.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. Sayangnya Allah pada kita.. Subhanallah. Moga kita semua terus berada di bawah rahmat Allah dan tidak tersasar dari jalanNya. Allahuma amin. Bi iznillah~
^___^

Habis menaip jam 2:30am. Alhamdulillah..
*Selesai pun. Dahsyat whoah sampai 4 hari* =oo=

QishDarleena

 

ALL RIGHT RESERVED | QISH DARLEENA 2010-2017