HOME ABOUT QISH REMINISCE GALLERY CONTACT ME

من كان لله كما يريد، كان الله له فوق ما يريد
Siapa keadaannya seperti apa yang Allah inginkan;
Allah ada baginya melampaui segala harapan.

Selamat Jalan 2014...

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera..

Terlebih dahulu, selawat dan salam dipanjatkan buat junjungan besar Rasulullah saw.
Moga ada syafaat dari Baginda buat kita di akhirat kelak, In Sha Allah..

اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم

Sebagai ingatan dan perkongsian, Baginda pernah bersabda, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku di pagi hari 10 kali dan di petang hari 10 kali, maka dia akan mendapatkan syafaatku di hari kiamat.” - (HR. Tabrani) Wallahua'lam.

Memulai entri ini.. Kini kita berada di muka surat ke 365 dari 365 lembaran hari bagi tahun 2014 yang penuh dengan cerita suka duka dan kenangan pahit manis. Alhamdulillah ala kulli hal.. Syukur ke hadrat Illahi atas nafas yang dipinjamkanNya hingga ke saat si gadis menaip entri ini. Masih belum pasti sampai bila akan terus bernafas di bumi Allah ini. Entah sempat entahkan tidak nak menjengah ke tahun baru 2015. Apapun, semoga terus dipanjangkan usia serta diberi kesempatan oleh Allah untuk terus memperbaiki diri dan amalan sang pendosa ini sebelum dijemput oleh Al-Khaliq. Sungguh sampai bila pun tidak akan bersedia lantaran dosa diri yang bergunung tinggi. Moga diampunkan segalanya -- dosa saya, dosa para kesayangan saya serta dosa awak yang membaca juga. Doa tulus dipanjatkan, semoga dipermudahkan segala urusan kita, semakin bertambah cinta dalam hati kita kepada Rabbul Izzati & ditingkatkan keimanan kita semua kepada Dia, Aamiin Aamiin ya Rabb.. In Sha Allah.


Mengimbau semula susur masa perjalanan hidup sepanjang tahun 2014 dari awal Januari yang lalu hingga ke penghujungnya iaitu hari ini, hari terakhir bagi tahun 2014. Lembaran demi lembaran kita isi setiap hari dengan kisah tersendiri yang penuh warna warni.. Ada hari kita bersuka dan gembira, ada hari kita diuji namun kita tabah, ada hari kita sakit kemudian Allah sembuhkan, ada hari kita jatuh tapi bangkit semula, dan ada hari kita berduka kerana sesuatu tapi kita tersenyum kembali selepas itu. Namun, telah jayanya juga kita akhiri satu lagi jilid kehidupan kita yang terdiri dari 365 halaman cerita yang bakal tinggal kenangan. Ternyata setiap hari selalu berlalu dengan kisahnya tersendiri yang membawa 1001 kisah yang mencipta kenangan penuh hikmah. Alhamdulillah atas segala pengalaman yang mengajar kita erti hidup & syukur. Kalau nak disenaraikan memang terlalu banyak yang manis dan banyak juga yang pahit. Moga kita semua selalu redha dengan ketetapan takdir cinta dari Dia.. 

Malam tadi, mendapat perkhabaran sedih yang sangat mengejutkan saya. Salam takziah buat Muhamad Helmi, si jurutera hati saya atas pemergian abang tercinta akibat kemalangan jalan raya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak senja semalam. Al-Fatihah buat Allahyarham Abdul Razak bin Ramli Kamaruddin (Abang Ajak). Moga roh Allahyarham Abang Ajak dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh. Moga si jurutera dan keluarga besarnya tabah serta redha menghadapi kehilangan ini. Aamiin ya Rabb. Sungguh Allah sangat menguji jurutera saya. Mendapat perkhabaran sedih ketika sedang sibuk menyiapkan tugasan universiti dan lagi 2 hari hendak menghadapi peperiksaan akhir semester.. Inalillahi waina ilaihi rajiuun. T_T Moga awak terus diberi kekuatan serta dipermudahkan segala urusan. Doa qish selalu mengiringi si jurutera dan keluarga In Sha Allah..

Sesungguhnya bagi saya, pengakhiran tahun 2014 bagi saya dan mungkin bagi kebanyakan ummah di seluruh dunia juga sememangnya agak mengharukan lantaran beberapa tragedi serta ujian yang tidak putus putus Allah telah hadirkan buat hamba hambaNya. 2014, tahun kesedihan Malaysia. Tahun yang penuh duka & tragedi. Mudah mudahan banyak hikmah indah yang telah menanti di sebalik semua itu. Ayuh panjatkan doa tulus ikhlas kita buat semua umat Islam di seluruh dunia -- buat saudara seagama kita di Palestin, Syria, Mesir, dan semua negara Islam yang bergolak, buat saudara seagama kita yang tertindas oleh para kafir laknatullah yang zalim, buat saudara seagama kita yang diuji dengan musibah kehilangan ahli keluarga serta harta benda akibat penindasan, bencana alam & kemalangan, buat saudara seagama kita yang selalu hanyut dalam dosa, buat saudara seagama kita yang sedang berusaha untuk mencapai sesuatu, buat ahli keluarga dan sahabat kita yang tersayang, serta buat diri kita semua sendiri.. Moga kita semua berada dalam peliharaan Allah selalu. Moga 2015 datang dengan lembaran baru yang penuh hikmah & lebih bermakna Aamiin ya Rabb. T_T Saya akhiri update entri untuk tahun 2014 ini dengan sepenuh pengharapan semoga kita semua diberi kelancaran atas segala urusan pada masa yang akan mendatang. Mohon maaf buat semua, atas segala salah dan khilaf saya sepanjang tahun 2014 ini. Mohon diampunkan segalanya.. Mohon maaf juga jika ada perlakuan saya yang tidak menyenangkan hati mana mana pihak. Sesungguhnya yang baik semuanya datang dari Allah SWT, yang buruk datang dari diri saya sang pendosa ini, dengan izin dari Allah jua. Wallahua'lam..

-سبحان الله الحمدلله لا اله الا الله الله اكبر -

No comments:

Post a Comment

 

ALL RIGHT RESERVED | QISH DARLEENA 2010-2016 | THIS BLOG IS DESIGNED BY RRAI